KAEDAH MENGURUSKAN WAKTU BELAJAR
Waktu merupakan sesuatu yang tidak boleh dikawal,
dicepatkan, diberhentikan atau dilambatkan. Kita memerlukan banyak masa atau
waktu tetapi kita tidak tahu di mana harus kita mencari masa. Masa merupakan
sesuatu yang amat bernilai lebih bernilai daripada wang ringgit. Antara kaedah-kaedah
pengurusan masa yang berkesan adalah seperti berikut:
A)
Mengumpulkan Bahan Yang Anda Perlukan
Langkah pertama sebelum anda membahagikan masa adalah anda
perlu mengenal pasti terlebih dahulu maklumat-maklumat penting seperti jadual
kuliah, jadual kerja anda, tarikh-tarikh peristiwa penting keluarga,
pengembaraan atau percutian serta aktiviti-aktiviti peribadi di samping
menyenaraikan aktiviti-aktiviti tambahan yang anda ingin sertai.
Untuk mengurus masa secara berkesan dalam konteks jangka
masa panjang adalah dengan membuat sebuah papan projek yang diletakkan di
dinding kosong di hadapan meja belajar anda. Dengan berpandukan tugas-tugas
umum cuba bahagikan kepada beberapa komponen, misalnya:
Minggu Pertama
Mencatatkan perancangan tugasan ilmiah (assignment) yang
melibatkan jangka pendek dan jangka panjang.
Minggu Kedua
Mengadakan perbincangan secara berkumpulan dan agihkan
tugasan kepada individu.
Minggu Ketiga
Tugasan dibuat oleh setiap ahli kumpulan dan perbincangan
terbuka mengenai tugasan masing-masing dibuat secara berterusan.
Minggu Keempat
Mencatatkan segala butiran pada papan projek dan merumuskan
segala topik tugasan yang telah dilakukan dan diperincikan. Penambahbaikan atau
pembetulan tugasan dilaksanakan.
B) Menggunakan Kalendar Perancangan
Penggal
Ia boleh digunakan seiring dengan penggunaan papan projek
anda dengan memindahkan semua maklumat yang ada pada papan projek ke dalam
kalendar perancangan penggal. Seterusnya masukkan jadual mingguan kelas /
kuliah, jadual kerja rumah, acara-acara keluarga, percutian dan kegiatan kelab
atau kokurikulum. Walau bagaimanapun terdapat perbezaan di antara papan projek
dengan kalendar perancangan penggal di mana papan projek hanya merupakan
ringkasan jadual manakala kalendar perancangan penggal mengandungi semua
maklumat penjadualan. Kalendar perancangan penggal boleh menggantikan papan
projek sekiranya anda tidak suka menggunakan papan projek.
Ia menjadi penting apabila anda berada dalam persekitaran
universiti atau kampus khususnya apabila dibebani dengan tugasan yang banyak,
menulis kertas projek dan menulis laporan serta aktiviti kokurikulum. Dengan
adanya papan projek ini anda dapat meneliti sekali lalu perjalanan aktiviti
yang perlu dilakukan tanpa mengambil masa yang lama untuk menyemak aktiviti
telah disenaraikan, apakah ianya telah dilakukan, dan tindakan susulan bagi
setiap aktiviti.
C) Merancang Aktiviti Harian Dan
Mingguan
Pembentukan perancangan harian dan mingguan amat penting
bagi anda kerana ia dapat membantu dan memberikan garis panduan kepada anda
untuk melakukan sebarang program yang dirancang berjalan dengan lancar seperti
yang dirancangkan. Ia juga dapat mengelakkan anda membuang atau membazirkan
masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Tiga langkah perlu diikuti
dalam membuat perancangan aktiviti harian dan mingguan. Langkah-langkah
tersebut adalah seperti berikut:
Langkah Pertama : Rangka Satu Senarai “Apakah Yang Akan Dibuat”
Langkah pertama yang diambil oleh anda untuk membentuk atau
merancang aktiviti harian dan mingguan mestilah terlebih dahulu meneliti papan
projek dan kalendar bagi memastikan tugasan yang seharusnya dilakukan pada
minggu tersebut. Tugasan tambahan juga perlu dimasukkan jika ada. Misalnya ada
janji temu dengan pensyarah atau mesyuarat dan sebagainya dan ianya mestilah
disusun mengikut kepentingan tugasan tersebut.
Langkah Kedua : Beri Keutamaan Kepada Tugas
Seandainya anda tidak ada perancangan untuk mengutamakan
tugas, sudah pasti anda anda akan menghadapi kesuntukan masa untuk menyiapkan
tugasan. Ini kerana seseorang itu tidak meletakkan keutamaan yang penting
diutamakan dan yang kurang penting dikemudiankan, juga mengelakkan diri
daripada membuat tugasan mengikut gerak hati yang akhirnya membebankan diri
individu tersebut. Apabila anda mampu memastikan keutamaan tugasan ia akan
dapat memastikan supaya tugasan dapat disiapkan mengikut masa yang telah
ditetapkan dan mengikut jadual asal.
Langkah Ketiga : Penuhkan Jadual Harian
Apabila sudah selesai mengesan tugasan mingguan mengikut
keutamaan, anda perlu memindahkannya ke dalam jadual harian yang sedia ada
mengikut keutamaannya. Anda juga perlu meneliti dan memperhatikan jumlah masa
yang diperlukan atau diperuntukan pada setiap tugasan yang perlu disiapkan.
Dalam penentuan masa belajar atau membuat tugasan elakkan daripada dipengaruhi
oleh minat. Ini bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya
ketidakseimbangan pembahagian masa. Misalnya anda berminat dengan subjek
Pembangunan Sumber Manusia, maka anda menumpukan lebih banyak masa untuk
membuat tugasan dan ulangkaji subjek tersebut berbanding subjek lain. Ini akan
menyebabkan masa tidak dapat diurus dengan berkesan iaitu terfokus kepada satu
subjek dan menidakkan peluang dan ruang untuk belajar subjek yang lain.
D) Jadual
Belajar
Bagi seseorang pelajar merangka sebuah jadual belajar adalah
satu kemestian, di mana para pelajar perlu mengambil kira banyak faktor untuk
menetapkan jadual belajarnya sendiri. Pelajar boleh merangka jadual belajar
dengan berdasarkan perkara-perkara di bawah:
1. Cuba peruntukkan masa beberapa jam sehari diperlukan
untuk tujuan belajar dan kemudian bahagikan masa tersebut mengikut keperluan.
2. Cuba kira berapa banyak kerja mesti dilakukan menurut
keupayaan anda untuk mematuhi jadual waktu belajar anda nanti. Peruntukkan
sebanyak mungkin masa untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran sahaja.
3. Kerja sampingan lain hanya anda lakukan jika masa untuk
belajar masih berbaki.
4. Anda boleh memilih waktu dalam hari-hari tertentu untuk
melaksanakan tujuan ini (kerja-kerja sampingan) dengan sehabis mungkin.
5. Cuba ketepikan masa satu jam atau dua jam setiap hari
untuk membuat nota.
6. Anda perlu menulis dan memegang erat motto peribadi
seperti ‘biarkan cepat asalkan dapat’, yang bermaksud belajar dan menelaah
semua mata pelajaran bermula sejak hari pertama di kelas. Adalah lebih baik dan
selamat, daripada baru mulai membuat nota dan menelaah kira-kira seminggu
sebelum peperiksaan.
7. Cuba beri keutamaan kepada hal-hal perkuliahan dan
pelajaran apabila di rumah atau asrama. Masa yang lebih misalnya pada hari
Sabtu dan Ahad bolehlah digunakan untuk aktiviti-aktiviti sampingan.